TELINGANYA menahan bebelan bak peluru berpandu yang dilepaskan tanpa henti. Suara wanita yang paling dikasihi sudah memenuhi ruang tamu sejak sepuluh minit yang lalu. Dan yang pasti, dia sendiri tidak tahu bila kesudahannya.
Ibu mana yang tak sakit kepala bila anak bujangnya sampai sekarang masih tiada calon untuk dibuat isteri. Bila diri sendiri dengan rela hati ingin mencari, habis semua calon ditolak.
"Ala mak ni. Perempuan dekat luar tu ramai lagi mak. Ini baru beberapa je. Mesti ada yang lebih baik dekat luar tu." Ujar Qhalif beralasan.
"Baik lah sangat..." Sindir Puan Maryam. "Cuba beritahu mak, kamu nak yang macam mana. Ini asal mak tanya, kamu jawab ikut mak lah. Bila mak pilih, macam-macam alasan kamu bagi."
Qhalif tersengih panjang. Tangan menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Bukan dia sengaja memberi alasan tentang calon isteri yang dicadangkan maknya. Cuma kekosongan di hati telah lama terisi tapi...
"Qhalif bukan sengaja tolak calon mak tu. Tapi Qhalif dah ada seseorang yang Qhalif berkenan cumanya..."
Terbeliak mata Puan Maryam. Encik Rashid yang khusyuk membaca surat khabar namun sentiasa memasang telinga perbualan anak beranak menjatuhkan surat khabarnya.
"Cumanya apa?" Soal Encik Rashid ingin tahu.
*****
TERHINJUT bahunya tatkala lantunan suara yang berdentum bak petir di langit memecahkan ruang bilik yang sederhana besar itu.
"Kau kalau buat kerja tu elok-elok sikit boleh? Ini dengan typo berlambak. Spacing tak sekata. Ini yang kau cakap dah siap? Sampah adalah." Fail hitam dilempar ke lantai. Kasar. Berterabur helaian kertas A4 diruang biliknya.
"Errr... saya minta maaf bos. Saya..."
"Ahh... tak payah dengan maaf kau tu. Kau ingat dengan maaf kau tu kerja yang aku suruh tu boleh jadi elok balik ke? Tak kan?" Pintas Qhalif sambil mendengus geram.
Melihat pandangan tajam bosnya, Wardah pantas menunduk mengutip kertas-kertas yang berselerakan di lantai. Dia hampir melatah saat suara Qhalif memecah ruang yang kembali sunyi.
"Aku nak kau buat semula dari depan sampai belakang. Before balik make sure, semuanya dah siap dan ada atas meja aku. Ingat. Before balik. 5.00 p.m. sharp." Tegas arahan Qhalif. Wardah pantas mengangguk faham seraya berlalu keluar dari bilik Qhalif.
Raisya merangkap setiausaha Qhalif memandang simpati ke arah Wardah yang berwajah sugul. Bukan dia tidak kenal bosnya sorang tu, bila dah naik aura singa bin harimau dia tu, ribut taufan tornado sekalipun boleh kalah. Sebagai contoh, depan dia ni.
"Sabar ya Wardah. Biasalah tu. Bos tu datang bulan kot. Tiba-tiba je naik angin." Pujuk Raisya. Wardah tersenyum kelat. Gurauan Raisya tidak dapat menyembunyikan rasa malu dan gundah di dalam hati.
*****
QHALIF meraup wajahnya. Mulutnya ditampar berkali-kali. Wajah kekesalan jelas terbias di wajah.
"Ya Allah, apa aku dah buat ni? Yang aku marah dia teruk tu sangat kenapa. Bukan salah banyak sangat pun." Tali leher dilonggarkan. Mengahalau rasa amarah yang semakin menguasai diri. Bukan wajah sayu tadi yang dia marahkan, namun permintaan mak dan ayahnya sejak dua minggu yang lalu membuatkan dia sesak kepala. Serabut.
Sedangkan wajah sayu tadi itulah pengubat letihnya, resahnya, dan rindunya. Namun, dek kerana kesalahan yang terpampang di muka kertas membuatkan dia tidak mampu membendung amarah. Mulut melemparkan kata-kata kasar tanpa amaran. Akibatnya, diri sendiri yang dirundung rasa bersalah yang tak sudah.
Ya Allah, berdosanya aku padanya.
*****
CERMIN di hadapannya direnung dalam. Hairan dengan tingkah laku bosnya, Encik Qhalif. Bukan dia tidak perasan wajah muram yang ditayang setiap kali dirinya membuka pintu rumah. Sering kali dia menyoal namun gelengan sebagai jawapan.
"Apa kena dengan suami aku ni?" Bisik hatinya. Ya. Qhalif yang sesedap mulut memarahinya adalah suami yang sah di sisi agama. Mengahwini lelaki yang menjadi galang ganti bekas tunangnya yang melarikan di saat-saat akhir akad nikah bakal dilafazkan. Insan yang pada mulanya hadir sebagai sahabat kepada pengantin lelaki, berakhir sebagai suaminya.
Tit! Tit!
Bunyi mesej di telefon bimbit mematikan lamunannya yang terkenang saat mereka pertama kali sah sebagai suami isteri enam bulan yang lalu.
Abang minta maaf... termarah Mawar tadi... lunch together? I will explain everything later.
Bunga-bunga senyuman terpamer di wajah. Balasan ringkas ditaip sebelum ikon send ditekan.
Okay.
****
2 MINGGU SEBELUMNYA...
"Cumanya apa?" Encik Rashid berkeriut dahi. Dia mengharapkan khabar yang tersebar di syarikatnya hanya sekadar khabar angin.
Qhalif serba salah. Sebut pun salah, tak sebut pun salah.
"Errr... Qhalif... sebenarnya..." Nafas yang tidak teratur dihela perlahan sebelum menarik nafas kembali. "Qhalif dah kahwin." Ujarnya pantas. Saat itu terasa beban yang sudah lama ditanggung terlepas. Bahu terasa ringan. Lega.
Membuntang mata Puan Maryam. Tangan mengurut-urut dadanya dek kerana rentak jantung yang berdegup lebih pantas dari biasa.
"Astaghfirullah hal azim. Apa ni Qhalif? Tiba-tiba je kamu cakap kamu dah kahwin. Kalau ye pun kamu tak nak kahwin, tak payah nak menipu mak dengan cara macam ni. Qhalif, Qhalif. Apa nak jadi dengan kamu ni?" Puan Maryam lantas melabuh duduk di sisi suaminya. Kepalanya berdenyut-denyut dengan kenyataan si anak.
"Betullah mak. Qhalif dah kahwin. Kali ini bukan alasan dah. Betul-betul punya."
Puan Maryam geleng kepala. "Perangai kamu ni boleh buat mak masuk batu dua cepat-cepat tahu. Dah lah, mak malas nak ambil tahu."
"Betullah mak. Qhalif dah kahwin. Kali ini bukan alasan dah. Betul-betul punya."
Puan Maryam geleng kepala. "Perangai kamu ni boleh buat mak masuk batu dua cepat-cepat tahu. Dah lah, mak malas nak ambil tahu."
"Jadi, betullah berita yang dah tersebar dekat syarikat tu?" Soal Encik Rashid tenang.
Qhalif mengangguk.
"Ayah nak kamu bawa balik isteri kamu tu ke sini. Tak ada bantahan." Tegas Encik Rashid.
Puan Maryam hanya mendiamkan diri. Kalau suaminya dah mengeluarkan suara tegas dengan kuasa vetonya, dia yang memujuk pun tiada gunanya. Akhirnya, Puan Maryam hanya mengikut kata si suami.
Qhalif tersentak. Arahan ayahnya ibarat menjerut tengkuknya yang sedia rapuh. Seperti menanti hukuman gantung. Tiada kompromi dia kena tunaikan permintaan ayahnya.
*****
"KENAPA?"
Qhalif tersentak. Wardah di hadapannya tersenyum manis tanpa menunjukkan riak sedih atau merajuk kerana amarahnya tadi.
"Tak marah abang?"
Geleng.
"Sikit pun tak?"
"Terguris tu adalah." Ujar Wardah ringkas. Namun senyuman manis itu tetap tersungging di bibirnya. Qhalif menghela nafas berat.
"Ayah abang suruh abang bawa balik menantunya ni ke rumah." Ujar Qhalif tiba-tiba. Melencong jauh dari topik asal.
Wardah bungkam.
"Sebab?"
Bahu dijongket. "Entahlah. Abang risau ayah tanya macam-macam je." Wardah menyandar ke kerusi.
"Sebab tu je yang buat abang balik rumah dengan muka masam kalah cuka tu?" Soal Wardah mengingkan kepastian. Kalau betul apa yang ditelahnya, suaminya silap besar jika mengatakan dia tidak bersedia dengan situasi ini. Sedangkan sejak lafaz qabul terlafaz dari bibir Qhalif, dia tekad akan mengaharungi susah senang bersama-sama. Dan dia pasti saat ini bakal tiba.
Qhalif mengangguk lemah. Makanan di dalam pinggan masih tidak terluak. Hanya dikuis-kuis.
Wardah menggapai tangan Qhalif.
"Kalau hal yang tu, dah lama Wardah sedia abang. Sejak lafaz akad nikah dimeterai lagi, Wardah dah ready dengan semua ni."
Qhalif merenung pandangan mata redup si isteri. Melihat wajah tenang tanpa gusar membuatkan dia kembali bersemangat. Perasaan berani mulai mengusai ruang hati.
"Betul ni? Tak takut dengan ayah abang? Kalau kena pancung ke apa ke, Mawar sanggup?"
Wardah mengangguk laju. Yakin sudah pastinya.
"Betul ni? Tak takut dengan ayah abang? Kalau kena pancung ke apa ke, Mawar sanggup?"
Wardah mengangguk laju. Yakin sudah pastinya.
"Kalau macam tu, malam ni jugak kita balik. Lepas habis kerja, balik rumah tukar baju. Then, baru bertolak."
"Okay. Wardah ikut je."
Qhalif kembali berselera apabila Wardah menyatakan kesanggupannya. Dia terharu dengan kesudian Wardah untuk bertemu dengan kedua-dua ibu bapanya walaupun hatinya tetap berasa gusar dengan penerimaan mereka. Kerana dia tahu, Wardah hanya manusia biasa namun luar biasanya dia apabila menjadi tulang rusuknya yang hilang.
*****
"KERJA APA?"
"Kerani biasa dengan syarikat... err... abang." Perlahan sebutan abang disebutnya. Dia sendiri tidak tahu untuk membahasakan Qhalif sebagai apa di hadapan mertuanya. Sedangkan lidahnya sudah lentur dengan menyebut abang dari Qhalif.
"Tinggal dekat mana?" Soal Encik Rashid pula.
"Kuala Selangor."
"Mak ayah kerja apa?"
"Mak suri rumah, ayah kerja pegawai kerajaan."
Wardah kebas punggung. Sejak setengah jam yang lalu dia disoal oleh mak dan ayah Qhalif. Daripada nama, umur, kerja, sehinggalah ke soal keluarga, habis semuanya diselidiki. Seolah-olah dia pesalah jenayah yang menanti hukuman gayanya. Qhalif pula sedari tadi diam mematung setelah ditegah oleh Encik Rashid supaya berdiam diri.
Encik Rashid dan Puan Maryam menyimpan senyum dalam hati. Ingatkan teruk sangatlah menantu yang menjadi pilihan si anak. Melihat dari raut wajah yang manis dengan senyuman dari muka pintu tadi, hati terus dihentik rasa suka dan jatuh sayang. Sengaja ditayang riak serius di hadapan menantu mereka, menguji tindak balasnya terhadap layanan mereka yang kurang mesara alam.
"Pass."
Terpinga-pinga Qhalif dengan kata Encik Rashid.
"Apa yang pass ayah?"
"Menantu ayah ni lah." Terbit segaris senyuman di bibir Encik Rashid dan Puan Maryam.
Qhalif masih belum dapat mencerna bait-bait kata si ayah. Melihat Puan Maryam melangkah menghampiri Wardah di sofa bertentangan, hatinya dipalu resah. Ah, sudah. Mak nak tampar Wardah ke?
"Memang pass lah. Sebab Wardah yang jadi menantu mama merangkap isteri anak mama. Perfect. Padan dengan Qhalif." Ujar Puan Maryam seraya mengusap pipi Wardah. Menitis air mata Wardah.
"La, kenapa menangis?"
"Ingatkan dah tak diterima jadi menantu mak dengan ayah." Sayu suara Wardah. Qhalif tersentuh mendengarnya.
Puan Maryam tersenyum. "Mana ada. Dah cantik elok ni ha. Sopan je mak tengok. Patut bila mak tunjuk calon menantu mak, habis semua Qhalif tolak. Rupanya dah jumpa bunga yang kembang mekar harum mewangi ni ha."
Terus terhambur tawa Encik Rashid dan Qhalif.
*****
"PUAS?"
Angguk.
"Abang pun sama. Lega. Ingatkan ayah nak suruh abang ceraikan ke apa ke. Padahal nak scan je. Sabar sungguh." Rungut Qhalif.
Wardah ketawa kecil. Tangan si suami ditarik lalu dikucup.
"Terima kasih sebab jadi suami Wardah."
"Dan terima kasih kerana sudi menjadi pelengkap hidup abang. Tulang rusuk abang yang hilang."
Masing-masing tersenyum sambil memandang langit yang terbentang luas.
Subhanallah. Indah sungguh ciptaanNya. Dan begitu jua jalan hidup kami berdua. Indahnya percaturanNya sehinggakan kita sebagai manusia tidak mampu terfikir dek akal. Alhamdulillah, dengan limpah kurniaNya kami berdua dijodohkan bersama dengan doa biarlah ianya kekal sehingga ke akhirat sana.
~The end~
Nota kaki:
Cerpen pendek yang ditulis kerana ilham yang diberikan Allah tanpa dirancang. Mungkin akan ada yang tertanya-tanya, kenapa ex tunang Wardah melarikan diri, dan kenapa Qhalif yang menjadi galang ganti. InsyaAllah, jika diberi kesempatan dan ilham, akan ku tulis untuk menyambungnya lagi. Sekali lagi, ini adalah ilham yang datang dengan izin Allah. Semoga ianya bermunafaat untuk semua.
Happy reading... ;)
0 Critical Critics:
Post a Comment