Sunday, 1 June 2014

Kembali ke SejadahNya

Jemarinya menyeka manik-manik air mata yang mengalir turun membasahi pipi. Sudah sepuluh kali cerpen Cinta Kelas Pertama karya Ezza Mysara dibacanya. Namun, air mata tetap menitis walaupun sudah ditegah dirinya supaya tidak mengalirkan butir jernih itu walaupun setitik. Dan untuk kali kesebelas, dia tewas juga. Tisu ditarik dari kotak Premiere
"Iman permata hati abang." Seru suara garau yang sudah berada di belakang sofa yang didudukinya. 

"Menangis lagi?"

Imani angguk. "Sebelas kali baca tetap menangis jugak." Adunya manja.

"Aihh... isteri abang ni lah. Sudah lah. Ini kalau mummy nampak, mahunya dituduh abang buli Iman. Jom, masuk tidur. Baby dalam perut tu pun dah penat tengok ummi dia yang cengeng ni."

Memuncung Imani.

"Abang mengata Iman nampak."

"Gurau je lah yang. Jom, tidur. Tutup laptop tu. Esok boleh sambung drama air mata ni." Seloroh Qaiser. 

Laptop jenama Acer segera ditutup sebelum menghampiri suami yang sedang menunggu di anak tangga pertama. 

Cinta Kelas Pertama. Cerpen panjang yang sangat menyentuh naluri seorang wanita bernama Imani. Seorang wanita yang pernah mengalami situasi yang hampir sama dengan watak heroinnya, Ainul Mardhiah. Namun, perasaan kasihan Imani tetap tumpah pada Ainul kerana dia kehilangan sesuatu anugerah berharga bagi seseorang yang digelar wanita, sebaliknya dirinya masih lagi beruntung, dapat mengandungkan zuriat yang bakal menjengah dunia tidak seberapa lama lagi. Namun, pengorbanan seorang wanita bernama Ainul sangat Imani kagumi, dan kerana itu, dia tetap dan akan terus tersentuh apabila membaca karya yang sama berulang-ulang kali.

*****

Tiga tahun yang lalu...

Susuk tubuh yang semakin menghampirinya membuatkan dia teruja.

"Ainiii!"

"Imann!" 

Aini berlari-lari anak lantas memeluk Iman erat saat tubuh yang amat dirindui berada di hadapannya.

"Aku rindu gila dekat kau." Ujar Aini.

"Aku pun sama. Lama dah tak jumpa kau lepas kau pergi UTM tu. Bila balik sini? Tup-tup muncul dekat rumah aku."

Pelukan dilepaskan sebelum melabuh duduk di kerusi yang tersedia di anjung rumah Imani.

"Seminggu lepas. Aku dah grad dah pun. Kau? Bukan patutnya dah grad jugak ke?"

Imani tersenyum. "Yup. Samalah dengan kau. Cuma aku habis awal sikit. Bulan lepas. Sekarang tengah apply cari kerja."

"Ohh... Lebih kurang lah dengan aku. Baru jadi penanam anggur berjaya sejak minggu lepas." Pecah tawa mereka berdua.

"Ni yang tetiba tak ada angin ribut, sampai rumah aku kenapa? Nak jemput kenduri ek?" Usik Imani.

"Ishy, kau ni. Calon pun tak ada. Nak kenduri apanya. Aku saja datang melawat kau. Rindu. Hehe." Aini tersengih. Namun, dalam hatinya ada satu misi rahsia antara dirinya dan mak Imani.

*****

"Haa, nak pergi mana tu?" Soal Puan Masyitah.

"Alang nak keluar kejap dengan Aini."

"Dengan baju macam tu nak keluar dengan Aini?" Naik seoktaf suara Puan Masyitah.

Imani membelek baju yang tersarung di tubuh. T-shirt lengan pendek separas pinggang dan seluar jean yang mengikut lekuk kaki. Rambut yang sedikit perang dihujung diikat ekor kuda. Okay dah ni.

"Okay je mak. Ada yang tak kena dekat mana-mana ke?" Soal Imani tanpa riak bersalah.

"Astaghfrullahal'aziiimm, Iman oi. Berapa kali dah mak pesan kalau keluar pakai baju yang cukup kain. Ini tidak, yang ketat sana-sini jugak lah kamu pakai. Kamu tak malu ke dengan Aini tu? Mak yang tengok ni pun malu tahu." 

"Mak ni. Aini tu tak kisah pun. Dia tak complain apa-apa pun. Mak je lebih." Protes Imani. 

"Memanglah dia tak komen. Cubalah alang jaga sikit maruah kamu tu. Kamu ingat pakai macam tu lawa sangat lah?" 

Imani buat tak endah. "Okay lah mak. Imani pergi dulu." 

Pintu utama ditarik kasar sebelum memboloskan diri ke luar rumah. Kasut Snikers awal-awal lagi dicapai di balik pintu.

*****

Sudah hampir dua minggu Aini mengajak Imani keluar. Namun, Imani pelik. Setiap kali keluar, mesti ajak makan. Tak ada pulak nak ajak tengok wayang ke, shopping ke. Yang mereka berdua buat, jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur sambil bercerita tentang zaman universiti sambil mengimbau zaman muda remaja mereka dahulu. Sesekali Aini akan ajaknya memerhati tingkah dan keletah manusia di sekeliling mereka. Dan hari ini, sekali lagi Aini ajaknya keluar. Namun, hanya ke taman permainan yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumahnya.

Imani melabuh duduk di kerusi yang terletak di bawah pohon ceri yang rendang sambil menanti kelibat Aini yang masih belum kelihatan. Pelbagai soalan bermain di ruang mindanya terutamanya tujuan Aini ingin bertemunya di sini.

Imani melempar senyum saat susuk tubuh Aini sudah kelihatan dari hujung ruang taman permainan. Melihat Aini yang bert-shirt labuh paras lutut dengan seluar slack hitam serta tudung bawal lebar yang disilang kiri kanan, membuatkan dia rasa rendah diri. Teringat kata-kata maknya yang sentiasa suruh memakai pakaian yang cukup kain. Namun, dek kerana sudah selesa semenjak dia menjejak ke menara gading, ditambah dengan kawan-kawan yang up to date dengan fesyen, dia turut terjebak sama. Pakaian tidak pernah menutup setiap inci tubuhnya. Walaupun cukup, pasti melekat di sana sini.

"Assalamualaikum, sorry lah lambat. Ada hal tadi."

"Tak apa lah. Aku pun baru je sampai." Balas Imani. "So, kenapa jumpa dekat sini?"

Aini tergelak. "Iyalah. Dah asyik keluar makan je. Pokai la duit." Imani turut sama ketawa.

"Aku ajak kau jumpa ni ada sebab jugak."

"Sebab apa?"

"Nak ajak kau kembali kepada fitrah."

Imani tercengang. Fitrah? Fitrah apa?

"Fitrah?"

Aini mengangguk. "A'ah. Fitrah. Fitrah kita sebagai hamba. Fitrah kita sebagai seorang wanita."

Imani senyap. Baru dia faham. Mengerti yang Aini ada simpan sesuatu pasal dirinya. Mungkin kerana dia hanya berpakaian sebegini, bermakna dia tidak mengikut fitrah? Alangkah pesimisnya fikiran Aini.

"Kenapa? Nak cakap cara aku berpakaian macam ni tak ikut fitrah, macam tu?" Entah angin tornado mana yang melanda sehingga membuatkan dirinya geram, marah dengan Aini. Ingatkan Aini lain dari yang lain. Yang menerima dia dengan seadanya. Namun, sangkaannya meleset sama sekali. Aini tetap sama seperti orang lain. Jijik mungkin dengannya.

Aini tersenyum mendengar nada tinggi Imani. Dia sedar Imani mesti terguris tak pun tersinggung dengan bicaranya. Namun, dia harus memulakan langkah. Kerana masa semakin suntuk. Setiap detik beransur pergi dari kehidupan seorang manusia.

"Maaf kalau tersinggung dengan kata-kata aku. Aku tak bermaksud nak calarkan hati kau Iman." Pujuk Aini seraya melabuhkan tangannya ke atas tapak tangan Iman yang terbuka.

"Dah lah Aini. Kau pun sama je macam orang lain. Aku balik dulu." Ujar Imani kasar. Dia bingkas bangun sebelum sempat ditahan Aini.

Aini menunduk. Tubir mata semakin memberat dengan air mata yang bila-bila masa sahaja akan menitis.

"Maafkan aku Iman. Aku pernah rasainya..." Tapak tangan ditekap ke dada. "Dulu. Sebelum aku jadi macam ni." Dan akhirnya dia tewas. Setitik air matanya tumpah jua.

*****

Imani merenung siling putih biliknya. Kipas yang berputar sedikit pun tidak menganggu dirinya dari mengimbas kejadian seminggu lepas. Sejak itu, dia dan Aini bagai orang asing. Mesej Aini dia tidak balas. Panggilan Aini dia buat tak endah. Apabila Aini datang ke rumah, dia sanggup berkurung di dalam bilik.

"Sampai hati kau Aini. Aku ingat kau akan terima diri aku yang macam ni. Aku tak sangka dalam diam, kau sendiri pun tak suka." Air matanya semakin murah menitik. Tegar sahabat yang paling rapat dengannya turut berkelakuan seperti orang lain. Dia terluka.

Bunyi telefon yang menandakan mesej baru masuk, dia hiraukan. Namun, entah apa yang merasuk dirinya kala itu, terus dicapai telefon Nokia Lumia yang tersadai di meja solek.

Berkeriut dahinya melihat nombor yang tertera tanpa nama. "Eh, siapa pulak ni?" Ikon mesej ditekan.

Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam). (Hadis Riwayat Bukhari)

Belum sempat dia menghadam mesej yang tertera dari pengirim tidak bernama, satu lagi mesej dari nombor yang sama masuk.

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Al-A'raf 7:172) 

Makin pening kepala Imani.

"Siapa yang rajin sangat nak mesej aku ni. Siap dengan hadis lah ayat Al-Quran lah..." Dia melopong. Bila tersedar bait-bait mesej yang tertera ada berkisar tentang perbualan mereka yang terakhir. Perasaan amarahnya mulai membara.

Jemarinya menaip mesej bagi melarang perbuatan si pengirim. Baru separuh mesej yang ditulis, satu lagi mesej masuk.

"Aih, dia lagi. Baru nak larang, dia hantar lagi."

Namun, dia membuka jua mesej itu.

Jumpalah Aini. Jangan sampai awak menyesal tak sudah. Ingat, setiap yang hidup pasti ada yang mati. Begitu juga Aini.

Imani tergamam. Mesej yang sedikit sebanyak berbaur ugutan membuatkan dia resah. Aini nak mati ke?

*****

Imani melangkah masuk ke bilik yang dihiasi dengan warna biru laut. Namun saat matanya tertancap susuk tubuh yang terlantar lemah di atas katil, setitis air matanya jatuh.

"Iman." Lemah suara Aini. Imani hampir melurut jatuh kerana lemahnya lutut untuk menampung tubuhnya.

"Aini." Setapak-setapak dia melangkah. Tangan Aini dicapai. "Maafkan aku... sebab aku marahkan ka..." Bibirnya dikunci dengan telunjuk Aini.

"Kau tak salah. Jangan salahkan diri. Ini takdir aku." Air mata yang membasahi pipi Imani diseka.

"Boleh kita sembang panjang?" Pinta Aini.

"Tapi kau tu tak sihat."

"Aku takut aku tak sempat je. Please..."

Akhirnya Imani mengalah. Apa salahnya dia mengotakan permintaan seorang sahabat.

*****

Sejak pulang dari rumah Aini, dia hanya merenung meja kosong di dalam biliknya. Bila maknya ajak dia makan, dia menolak mengatakan dia kenyang. Padahal perut berlagu lapar. Namun mengingatkan kembali perbualannya dengan Aini, terus melupakan perut yang diminta diisi.

"Apa yang kau nak cakap?"

"Pasal hari tu. Tapi before aku cakap, tolong jangan balik. Dengar sampai habis."

Imani terpaksa mengangguk walaupun hatinya meronta-ronta tidak mahu berbicara tentang topik yang menyebabkan mereka berdua membawa haluan masing-masing. Sedangkan Aini sentiasa berusaha menjernihkan kembali keadaan mereka.

"Ingat tak aku cakap pasal fitrah?"

Imani angguk.

"Aku tahu kau perempuan. Aku pun sama. Yang aku maksudkan fitrah tu maksudnya kembali kepada Islam. Lagipun aku tahu kau ada dapat mesej pasal ni kan?" Aini menarik senyum.

"A'ah. Tapi bukan nombor kau. Nombor baru ke?"

Aini menggeleng. "Adalah. Aku mintak tolong dia." Ujar Aini berahsia. Imani diam. Malas memanjangkan hal yang remeh.

"Fitrah ni tak bermaksud jantina kita Iman. Ianya tentang kita sebagai orang Islam. Adakah kita dah mengamalkan agama yang dianuti kita sejak kita lahir ni dengan sebenar-benarnya. Aku tak nak fokuskan tentang halal haram sesuatu perkara. Aku nak cakap benda lebih besar dari tu." Ujar Aini ringkas tapi padat.

"Apa yang lebih penting dari halal haram tu?" Imani pelik. Dia ingatkan Aini nak tegur cara dia berpakaian. Namun, lain yang dibicarakan Aini.

"Tauhid. Hubungan kita dengan Tuhan kita. Allah SWT."

"Kenapa yang itu lagi penting?"

"Kalau tak kenal, maka tak cinta. Ye tak?" Imani tersengih. Setuju dengan kenyataan tu. Macam dia dan Aini dulu. Sewaktu pertama kali kenal, kedua-duanya kekok bersuara.

"Macam itulah kita dengan Allah ni. Walaupun kita ni namanya orang islam, tetapi kita tak kenal sebetulnya Tuhan kita yang satu itu. Kita belum benar-benar kenal Allah itu sifatnya apa. Kalau benda basic macam tu kita tak tahu tentang Allah, agak-agak boleh ke kita ni nak cinta denganNya? Jatuh cinta, kasih dan sayang sepertimana kita cintakan seseorang tu?"

"Mestilah tak."

"Aku tahu semua orang termasuk kau dan aku tahu Asma Ul-Husna kan? 99 nama Allah yang turut menggambarkan sifat Allah itu. Kan?"

Imani mengangguk.

"Tapi aku nak tanya, berapa orang benar-benar faham dan hafal setiap nama Allah tu? Aku yakin segelintir je yang tahu. Sedangkan dari nama Allah itu sendiri kita secara tak langsung akan jatuh cinta denganNya sebab Dialah yang sempurna. Semua sifat ada padanNya. So, aku nasihatkan kau kenal dengan Allah itu dulu. Macam orang bercinta. Once dah kenal, semua benda yang kekasih suruh atau larang semua kita rela buat. Tak ada bantahan pun. Nak cakap tak tu kena fikir berpuluh-puluh kali. Sedangkan Allah suruh solat, tutup aurat, pelbagai alasan kita bagi."

Imani sedikit tersentak. Ayat akhir Aini bagai menusuk terus ke jantung. Walaupun tidaklah secara tepat ditujukan kepadanya, namun, dia sedar, Aini ingin dia berubah. Berubah ke arah kebaikan. Kembali kepada fitrah. Dia terdiam membisu. Hilang suara untuk membalas kata-kata Aini kerana dia sedar, Aini benar dan dia salah.

"Kau kena ingat Iman, konsep sepasang kekasih sama jugak dengan konsep hamba kepada Allah. Kenal dulu kekasih kita which is Allah, baru kau akan beri segala-galanya kepada Allah." Pesan Aini sebelum menutup mata. Melepaskan lelah setelah bicara panjang lebar dengannya.

Ketukan bertalu-talu di muka pintu mematikan imbauan perbualannya dengan Aini. Kaki segera melangkah ke arah pintu. Tombol dipulas lantas tersembul wajah abang sulungnya, Ikhwan tersengih menayangkan giginya yang kemas tersusun.

"Dah makan?"

"Belum. Tak ada selera. Yang along datang naik bilik alang ni kenapa?" Soal Imani. Memang nama adik-beradiknya punyalah sedap. Ikhwan, Ihsan merangkap abangnya yang tengah, dirinya Imani dan adik bongsunya Ibtisam. Bila ditanya mak dan ayahnya kenapa tiada pangkal Nur atau Muhammad, dengan selamba mereka membalas ada nama panjang panggil nama pendek buat apa. Lagipun tak adalah lama sangat nak hitamkan kotak-kotak kecil dalam kertas jawapan nanti.

"Saja tengok adik along. Kawan adik tu sihat? Mak suruh tanya. Risau tengok alang balik rumah terus menonong masuk bilik. Tak makan pun. Kot-kot lah sedih sebab kawan adik tu sakit."

"Alhamdulillah. Okay je. Demam panas. Nanti alang turun makan. Nak mandi jap." Pintanya sopan. Namun mengenangkan keadaan Aini yang hanya demam panas, terus ingatannya meluncur laju kepada pengirim mesej tidak bernama. Gaya bercakap dah serupa Aini tu sakit tenat. Pada mulanya, dia sendiri hampir rebah melihat Aini yang terbaring lemah ditambah dengan wajah yang amatr pucat. Hati makin dipalu resah apabila Aini menutup mata seusai mereka berdua habis berbicara. Air mata yang bertakung di tubir mata hampir menitis membasahi pipi sebelum ibu Aini mengajaknya keluar kerana Aini ingin rehat gara-gara demam panas yang dialaminya. Waktu itu, dia sudah terbayang ingin flying kick pengirim tidak bernama tu.

"Okay. Jangan biar perut tu kosong." Ujar Ikhwan sebelum pintu dikatup rapat.

*****

"Thanks tolong bagi mesej bagi pihak Aini."

"No probs. Lagipun Aini abang dah anggap macam adik sendiri." Ujar Qaiser seraya tersenyum nipis. Dia dan Aini merupakan sepupu sebelah ibu namun sangat akrab semenjak kecil walaupun dia tua tiga tahun dari Aini.

"Tapi kan abang, kenapa masa Iman datang tadi, dia sedih sangat. Tak pernah tengok riak wajah dia macam tu sedangkan Aini selalu je kena demam panas ni." Soal Aini bingung.

Terus pecah tawa Qaiser seraya menyeluk poket seluar jean lalu ditarik keluar telefon Samsung SII. Ani bertambah pelik dengan ketawa besar Qaiser.

"Abang buat apa?" Soal Aini lagi.

"Nah. Tengok sendiri."

Mesej yang tertera dan dihantar kepada Imani dibaca satu persatu. Sebaik matanya tertancap mesej terakhir dari Qaiser, terus terbeliak matanya.

"Abang Qaiser!! Kenapa buat macam ni?"

Semakin besar tawa Qaiser memecah ruang bilik sepupunya.

*****

Semenjak peristiwa dua bulan yang lepas, Imani semakin hari semakin berubah. Walaupun tidak sepenuhnya namun solat fardhunya amat dijaga rapi. Aini tersenyum melihat pakaian yang tersarung di tubuh Imani yang semakin menghampirinya. T-shirt lengan panjang dan seluar jean yang sedikit longgar. Namun, rambut yang sudah dipotong separas bahu masih lagi terbias di ruang matanya.

"Ada apa ajak aku datang sini?" Soal Imani saat dia melabuhkan duduk di sebelah Aini. Aini hanya megenakan sepasang baju kurung kosong dan selendang bercorak abstrak yang dililit rapi.

"Saja datang nak ambil angin. Hehe."

"Lorh... aku ingatkan ada apa."

"Kenapa? Sibuk ke? Aku ajak kau keluar salah masa ke?" Aini kurang senang dengan bicara Imani.

"Tak lah. Aku baru ingat nak joging petang ni. Tapi kau dah ajak aku keluar, so here I am. Tapi okay jugak. Boleh hidup udara segar." Balas Imani.

"Kau ni buak aku cuak je lah. Jom, jalan-jalan."

"Jom!" Serentak mereka mengatur langkah mengelilingi taman permainan yang agak luas yang turut disediakan track untuk berjoging.

"Aini, aku nak tanya sikit, boleh?"

"Tanya je lah."

"Err... kau tak panas pakai tudung?" Soal Imani teragak-agak. Risau soalannya menyinggung perasaan Aini. Dalam hatinya kagum dengan Aini yang bertudung. Bukan setakat kemas malah tidak pernah dia mendengar Aini merungut tentang tudung yang tersarung yang sudah tentu memanaskan kepala. Dia yang baru berjinak-jinak memakai baju berlengan panjang, boleh dikatakan saban hari kerja mengeluh panas.

"Kau pulak, tak panas pakai baju lengan panjang macam ni?" Soalan berbalas soalan.

Imani tergamam. "Panas. Sampaikan mak aku dekat rumah naik muak dengar aku merungut pasal baju ni. Panas. Kekadang sampai melekit badan aku sebab berpeluh. Tambah-tambah bila hari terik. Menduga sungguh." Aini pecah tawa.

"Macam tu jugak aku. Tak selesa dan kuat jugak merungut masa mula-mula pakai. Tapi bila dah lama-lama pakai, dah tak terasa nak buang. Rasa pelik bila tak pakai tudung walaupun aku tahu aku memang akan berpeluh. Sampaikan aku pernah pengsan kerana kepala aku terlampau panas sebab seharian bertudung."

"Kau pengsan? Serius?"

"Yup." Kepala dijatuhkan beberapa kali bagi meyakinkan Imani. "Tapi soal tu tak pernah mematahkan semangat aku nak terus bertudung dan berpakaian macam ni."

"Kenapa?"

"Sebab aku takutkan Dia." Jari telunjuk ditegakkan ke atas. Imani berkeriut tidak faham.

"Sebab Allah yang suruh kita kaum wanita ni yang menutup aurat. Bukan manusia dan juga bukan aku yang suruh. Allah dah explain in detail pasal ni. Dan ingat bukan kaum wanita je yang Allah suruh, lelaki pun sama. Allah dah terang baju yang macam mana kita nak pakai. Tudung minima paras mana boleh pakai. Hadis Rasulullah pun banyak cerita pasal ni."

Imani mendengar dengan tekun penjelasan Aini. "Lagi satu, tanpa menutup auratlah permulaan segala masalah sosial."

Imani pelik. "Ye ke? Sebab apa pula?"

"Yelah. Okay. Kita buat satu kisah lah bagi kau senang faham. Kita perempuan unik kan?"

"Ha? Unik?"

"Unik yang... ni?" Ujar Aini beriya-iya sambil memaksudkan bentuk tubuh seorang wanita. Imani tersengih seraya mengangguk faham.

"So, jika sorang wanita ni tak menutup tubuhnya dengan sempurna. Sebagai contoh, baju singkat menampakkan segala benda yang tak sepatutnya secara tak langsung kaum adam akan tergoda. Sebab syaitan kan dah berjanji nak menghasut anak-anak kaum adam dan hawa ni. So, syaitan ni akan cuba menggoda si kaum adam supaya tertarik dengan si hawa yang pakai tak cukup kain. Bila dah start kenal-kenal, syaitan ajak masuk stage dua. Waktu ni, si adam dan hawa ni mulalah nak pegang sana sini. Mula-mula yelah sikit, lepas tu banyak-banyak. Sampai ada yang terlanjur. Na'auzubillah. Cuba kira dah berapa banyak dosa dekat situ?"

Imani terdiam. Tak tercapai dek akalnya hanya kerana puncanya yang dirasakan remeh-temeh, boleh membawa kepada musibah yang besar.

"Bukan takat situ je. Ditambah lagi, katalah si hawa ni mengandung. Dah tambah lagi satu beban. Maruah keluarga tercalar. Orang disekeliling mula nak memfitnah, nak mengumpat. Yang si hawa yang dah tertekan, gugurkan anak. Dah termasuk dosa membunuh. Yang paling menyedihkan sekiranya dia membunuh diri. Cuba kau tengok. Puncanya hanya seorang individu, tetapi kesannya sampai ke masyarakat. Malah sampai ke negara pun boleh."

"Masyarakat?"

"Ya. Sebab orang yang mengenali mangsa bakal menabur kata-kata yang entah betul atau tidak yang secara tak langsung menempah dosa. Agama turut terpalit dek kerana hanya segelintir yang berbuat perangai. Secara tak langsung, agama Islam yang sangat indah dan agama yang diredhai Allah dipandang serong oleh bangsa lain. Sedangkan, agama itu benar dan cantik, cuma penganutnya yang mencemarkannya."

"Ohh... aku faham maksud kau sekarang. Sebab tu kau suruh aku kenal pencipta yakni kekasih kita dulu. Sebab bila kita tahu apa yang benar dan salah, kita akan ikut tanpa alasan kerana apa yang Allah suruh tu ada sebabnya dan begitu jua larangannya. Senang cerita, kenalilah agama yang kita anuti sebenar-benarnya supaya kita menjadi sebaik-baik penganut. Betul tak kesimpulan aku?"

Aini menepuk-nepuk tangannya. "Syabbass! Bagus kawan aku ni. Cepat tangkap rupanya." Imani tersenyum dengan seloroh Aini.

"Sekarang, aku kena jadi sebaik-sebaik muslimah lah." Tekad Imani bersungguh -sungguh dan Aini tersenyum lebar.

*****

"Mak, alang nak pinjam tudung." Tercengang Puan Maryam dengan permintaan anak daranya. Tangan yang sedang mengacau lauk tengah hari terbantut sesaat.

"Eh, mimpi apa ni alang?" Imani tayang muka bosan. "Alah... cepatlah mak. Aini dah nak sampai ni."

"Pergi ambil dalam almari mak. Pintu hujung sekali." Imani berlari-lari anak menuju ke bilik orang tuanya. Along yang baru menuruni tangga berselisih dengan Imani yang tengah tergopoh-gapah melangkah ke tingkat atas.

"Apa kena dengan anak dara mak sorang tu? Dengan baju kurungnya. Tak pernah along tengok." Kerusi di meja makan ditarik seraya duduk. Air oren yang sudah tersedia dituang ke dalam gelas.

"Alhamdulillah along. Sekurang-kurangnya berubah jugak adik kau tu. Sejuk mata mak tengok. Dulu berbulu mata mak tengok dia sarung baju kulit nangka tu." Ikhwan tergelak.

"Dia nak pergi mana tu?" Puan Maryam jungkit bahu. "Nanti along tanya dia sendiri."

Selang beberapa minit, Imani turun dengan tudung yang sudah kemas tersarung di kepala walaupun dia sedikit bengang dengan muncung tudung yang asyik menggelembung. Seisi keluarga sudah mengelilingi meja makan untuk menjamu selera.

"Nak pergi mana alang? Tak makan?" Encik Haikal yang baru memulakan suapan lantas menyoal.

"Nak keluar dengan Aini. Dia ajak pergi makan kenduri kawan abang sepupu dia." Kasut flat berwarna biru gelap yang dipasangkan dengan baju kurung biru laut yang tersarung di tubuh dicapai.

"Makan bagi kenyang alang. Lauk ni angah habiskan." Ujar Ihsan melawak.

"Makanlah. Tak hairan langsung. Pergi dulu. Assalamaualaikum." Laungnya sebelum pintu ditutup perlahan.

"Fuyooo bah. Ayu gila adik angah." Pecah tawa seisi keluarga.

*****

"Aini, aku tak tenteram lah." Adu Imani sambil jari lincah bermain-main dengan lengan baju Aini.

"Kau ni dah kenapa? Tangan tu duduk senyap boleh? Dah berkedut sejuta dah lengan baju aku ni."

"Hehe... spontan punya reaction. Aku... hmmm... tak sedap hatilah." Matanya sesekali dikerling ke arah hadapannya. Susuk tubuh yang berbaju melayu sedondon dengannya sedang bersembang dengan pengantin lelaki.

"Asal?" Aini dah naik rimas dengan gelagar Imani. Dah serupa kucing siam nak beranak.

"Sepupu kau tu. Aku dah banyak kali perasan dia curi-curi tengok aku. Tak selesa kot." Ujar Imani sambil merenung pinggannya yang dah kosong. Sejak dari dalam kereta lagi, dia perasan abang sepupu Aini ni mencuri pandang ke arahnya. Namun, dia bersangka baik sebab dah nama pun cermin pandang belakang. Confirmlah digunakan untuk mengerling kereta yang berada di belakang. Tapi kalau dah kerap tengok sampai bersaat-saat apa cerita tu?

"Ha? Kau ni. Tak lah. Ke kau yang curi-curi tengok dia? Sebab kau yang tangkap abang sepupu aku tengok kau ni." Aini dah tersengih mengusik sambil badan disendeng-sendeng ke arah Imani. Imani mencebik.

"Tak kuasa aku nak mengusyar. Kenal pun tidak."

"Haa... baguslah. Kenal-kenallah dulu. Tak kenal maka tak cinta."

Aini mengaduh sakit apabila cubitan Imani tepat di pahanya.

"Sakitlah."

"Padan muka."

*****

Ikhwan dan Ihsan sedang seronok menonton rancangan yang ditayangkan di kaca televisyen. Ibtisam masih
belum pulang ke rumah kerana cuti semester belum lagi bermula. Imani sedang melangkah turun anak tangga sebelum Puan Maryam menegurnya.

"Pakai lawa-lawa nak pergi mana ni? Dah pukul lapan malam dah, alang."

Imani tayang sengih. Ikhwan dan Ihsan turut menoleh ke arahnya. Terkejut jugaklah tengok adik mereka yang sorang tu berjubah merah hati dengan selendang yang dibelinya semalam di Masjid Jamek. Beriya-iya Imani tunjuk kepada mereka berdua sebab pertama kali ada tudung sendiri.

"Keluar dengan Aini. Dia ajak teman nak pergi program."

"Program apa malam-malam ni?" Soal Puan Maryam ingin tahu.

"Dia cakap usrah. Adalah dalam enam tujuh orang yang pergi. Macam group discussion lah lebih kurang. Aini cakap kalau lepas ni tak nak pergi pun tak apa. Dia cuma ajak  join je kali ini." Ujar Imani serba salah.

Puan Maryam berbelah bahagi ingin memberi keizinan. "Abah dah tahu belum?" Pantas Imani jatuhkan kepala.

"Abah kata pergi je lah. Siap suruh kongsi apa yang dapat bila balik nanti."

"Okay. Pergi elok-elok. Siapa lagi yang pergi ni?" Soal Puan Maryam lagi. Mereka berdua sudah berdiri di anak tanga terakhir.

"Aini. Abang sepupu dia dengan sepupu perempuan dia. Kiranya abang sepupu dia tu jadi driver. Lain semua perempuan. Nanti pun balik sekali jugak. Alang pergi dulu ek. Nak salam." Tangan dihulur seraya disambut Puan Maryam. Tiba-tiba Ikhwan bersuara.

"Along dengar cerita ada orang tu tengah jatuh cinta dengan alang." Usik Ikhwan. Ihsan di sebelah dah mengekek ketawa.

"A'ah. Angah pun dengar benda yang sama. Tu yang setiap kali Aini ajak alang keluar, orang tu mesti ikut. Risau lah katakan."

Pap!

Bantal di atas sofa berdekatan tangga selamat mengenai kepala Ikhwan. Tepat tanpa tersasar walaupun seinci.

"Jangan nak buat gosip boleh? Mak tengok along dengan angah ni." Adu Imani. Puan Maryam yang sudah mengetahui cerita sebenar hanya menayang senyum.

"Malas layan along dengan angah. Pergi dulu. Assalamualaikum."

Encik Haikal yang memerhati gelagat anak-anaknya hanya menggeleng kepala. Dia sendiri terkejut apabila Encik Hafizzudin datang melamar anak dara sulungnya bagi pihak Qaiser. Bila ditanya kenapa tiba-tiba datang melamar sedangkan dia sendiri tahu anaknya masih lagi dalam proses mengenal Allah, dengan mudah bakal besan yang jadi atau tak itu membalas, "Dah anak yang suruh, kita sebagai orang tua ikut je lah." Tergelak dia dengan jawapan itu.

*****

"Dapat belajar apa semalam?" Soal  Encik Haikal sewaktu mereka berkumpul untuk bersarapan pagi di hujung minggu.

"Allah pentingkan ibadah yang berkualiti bukan jumlah ibadah." Balas Imani ringkas.

"Macam mana tu?" Ikhwan mencapai sekeping roti bakar sebelum dicarik menjadi kepingan-kepingan kecil.

"Dalam surah Al-Mulk, ayat dua. Allah ada sebut ibadah yang terbaik. Maksud ibadah yang terbaik adalah bagaimana cara kita melaksanakan ibadah tu. Ikhlas ke tidak. Sebab bukan senang nak ikhlas dalam ibadah. Kalau along menderma pun, mesti akan terdetik jugak walaupun sesaat rasa bangga sebab along dapat menderma. Ye tak?"

Ikhwan hampir tercekik dengan roti bakar yang baru dikunyahnya. Imani tersengih. Dapat jugak mengusik abang sulungnya setelah puas disakat malam semalam.

"Maksud alang. Kalau buat sedikit pun kira okaylah macam tu?" Soal Ihsan.

"Eh, bukanlah sampai macam tu. Nak cakap dekat sini, biar apa yang kita buat tu, walaupun sikit tapi ikhlas tu yang lagi penting. Misal kata solat tarawikh. Si polan ni buat sampai dua puluh tiga rakaat tetapi sambil lewa. Mencuri dalam solat. Manakala si polan lagi seorang buat lapan rakaat tetapi setiap pergerakan sangat dihayatinya. Khusyuk dalam solat. Mana lagi bagus?"

"Mestilah yang kedua tu." Jawab Ihsan yakin.

"Kan? Sebab dia buat dengan sempurna. Lagipun tidak adillah kalau Allah judge amalan seseorang tu mengikut kuantiti. Makna kata sapa yang lagi banyak ibadah dapat masuk syurga, sesiapa yang sedikit masuk neraka. Untunglah kalau siapa yang umurnya panjang."

Ihsan dan Ikhwan serentak mengangguk. Encik Haikal dan Puan Maryam hanya tersenyum mendengar bicara si anak.

"Kan dalam Asma Ul-Husna, ada nama Allah itu Maha Adil. Jadinya, kira Allah itu adil bila dia mengadili ibadah seseorang itu mengikut kualiti daripada kuantiti. Sebab tidak kira berapa banyak ibadah kau buat, yang mana terbaik untunglah. Yang kurang kualiti tu rugilah sikit. Tetapi jangan kerana ayat ni, kita nak take it for granted pulak. Buat lah jugak ibadah sunat yang lain, bagi menampung ibadah wajib kita sekiranya tercacat sana sini. Lagipun, kita ni manusia yang banyak berbuat dosa. Mana nak tahu, dengan ibadah yang sunat itu terhapus dosa-dosa kita. Ataupun boleh menjadi salah satu sebab kita tak dimasukkan ke neraka. Kan abang-abangku sayang?"

Ikhwan dan Ihsan serentak menjatuhkan kepala mengiyakan.

"Tiba-tiba terasa matang pulak adik kita kan long?" Ujar Ihsan berlawak. Imani dan tayang cebik.

*****

Hampir terbalik kerusi yang diduduki Aini saat menerima perkhabaran dari keluarga pak longnya perihal abang sepupu yang berhadapannya ini.

"Abang Qaiser ni betul-betul ke?"

Qaiser mengangguk. "Yelah. Serius lah ni. Kalau tak serius tak adanya abang suruh pak long pergi cakap dekat ayah dia."

"Eeee... menipulah abang Qaiser ni. Abang bukannya kenal Iman tu siapa. Tiba-tiba je nak kahwin. Sesungguhnya tak masuk dek akal Aini tahu."

"Alah... lepas kahwin kenallah. Tengok persahabatan Aini sampai sanggup nak ajak si Iman tu berubah, nampak sangat Iman tu orang yang paling Aini sayang."

"Tahu tak apa. Sebab tu macam tak boleh nak terima abang nak angkat dia jadi isteri abang. Kalau dia terluka nanti macam mana?"

"InsyaAllah abang takkan lukakan hati dia. Abang sendiri nampak bagaimana dia berubah walaupun abang first time jumpa dia masa kita pergi kenduri tu. Even Aini pernah cakap Imani tu liar sikit sebelum ni, tapi Alhamdulillah abang tak pernah nampak sisi tu. Allah nak jaga pandangan abang kot." Seloroh Qaiser.

"Ceh. Perasan nampak. Eh, masa dia datang rumah time Aini demam panas dulu, abang tak tengok ke?"

Kepala Qaiser menggeleng ke kiri dan kanan. "Tak. Sebab tu abang cakap abang first time jumpa dia masa kita pergi kenduri."

"Haa.. dia pernah cakap dekat Aini yang abang ada usyar dia. Betul ke?" Qaiser tersentap. Dia perasan ke?

"Iman perasan ke?" Soalan berbalas soalan namun reaksi itu sudah memberi jawapan yang positif kepada soalan Aini. Pecah ketawa Aini tanpa tertahan.

"Haha... Kira betullah dia cakap abang kerja intai dia. Ingat dia yang intai abang." Darah merah menyerbu muka Qaiser. Kantoi terang-terangan dengan adik sepupu sendiri.

*****

Kini....

Matanya masih terkebil-kebil memandang wajah suami yang sudah terlelap di sebelah. Lelaki yang sudah hampir setahun menjadi pendamping dirinya di dunia dan insyaAllah sampai akhirat. Dan tidak lama lagi bakal menambah lagi seorang ahli rumah yang akan menyerikan rumah tangga mereka berdua. Tubuh dirapatkan ke dalam dakapan suami.

Sewaktu abahnya mengkhabarkan lamaran Qaiser kepadanya setahun lebih yang lalu, dia hilang kata. Tidak disangka lelaki merangkap abang sepupu kawan baiknya, Aini dalam diam menaruh perasaan. Abang-abangnya usah diceritakan reaksinya. Sepanjang masa mengusik, menyakat sampai naik merah mukanya menahan amarah dan perasaan malu yang menebal. Namun, diterima jua lamaran itu setelah berkali-kali meminta petunjuk Allah SWT.

Dia bersyukur sebenarnya datangnya seorang kaum adam yang sudi berkongsi hidup dengannya walaupun sejarah silam yang amat pahit untuk dikenang sudah terlakar dalam sebahagian kisah hidupnya. Tetapi Qaiser tetap menerimanya dengan alasan setiap orang ada masa silam dan masa hadapan yang masih belum tentu boleh dilakar indah dengan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran dalam menghadapi liku kehidupan. Sepasang matanya terpejam rapat dek kerana rasa kantuk yang semakin memberat.

*****

Telefon Samsung SII yang tersadai di meja selek diambil. Pelik dengan kehadiran handphone yang tidak pernah dilihatnya. Sedangkan suaminya menggunakan Nokia Lumia seperti dirinya. Skrin ditarik. Dibelek-belek setiap isi yang ada sampailah ke ruang mesej. Salah satu mesej kepada nombor yang tidak bernama menarik perhatiannya lalu dibuka. Membuntang matanya saat tersedar mesej-mesej itu pernah diterimanya suatu ketika dahulu. Saat itu baru dia tersedar yang nombor penerima adalah nombornya sendiri. Perasaan geram membuak-buak di dalam dada. Siap abang!

Qaiser yang melangkah keluar dari bilik tergamam apabila telefon yang sudah lama disembunyikan berada di dalam genggaman Imani. Melihat wajah yang sedang menahan geram, dia sedar rahsianya telah terbongkar.

"Iman... abang boleh explain."

Imani yang geram terus melemparkan telefon milik Qaiser ke atas tilam. Qaiser hampir menjerit melihat tangan isteri yang sudah diangkat tinggi namun menghela nafas lega bila telefonnya selamat mendarat di atas tilam bukan di lantai. Imani melabuh duduk di birai katil.

"Iman sayang. Abang minta maaf okay."

"Jadi abanglah yang hantar mesej yang cakap Aini dah serupa orang nak meninggal tu? Tahu tak masa Iman dapat mesej tu, jantung Iman dah macam berhenti berdegup. Rasa menyesal sebab merajuk dan marahkan dia dekat seminggu. Masa datang jenguk Aini time tu, rasa nak pitam tengok dia lemah. Nasib baik ibu dia cakap Aini demam panas. Kalau tak sampai ke sudah Iman tak tahu." Luah Imani geram. Air mata sudah muali bertakung di tubir mata. Tidak disangka pengirim tidak bernama yang menghantar mesej kepadanya adalah suaminya kini. Sampai hati.

"Abang minta maaf okay? Abang time tu saja je nak usik Iman. Abang tahu Aini sayangkan Iman. Dia nak sangat Iman berubah. Melihat Aini yang sakit, abang ambillah kesempatan nak usik Iman. Sebab abang sure kalau abang tak cakap macam tu, sampai ke sudah Iman tak nak jumpa Aini. Kan?" Diapit wajah Imani yang muram. Air mata yang menitis setitik diseka.

"Tapi janganlah buat macam tu. Iman boleh menyesal seumur hidup kalau Aini betul-betul pergi waktu tu." Air mata dah meleleh. Makin bertambah perasaan bersalah di hati Qaiser.

"Dah, dah. Abang minta maaf okay. Abang lemahlah kalau buah hati abang ni menangis. Abang pun rasa macam nak menangis." Ujar Qaiser melawak. Imani dah hampir tergelak.

"Syhh... dah lah tu. Abang sayang Iman abang ni. Sayang sangat-sangat sampaikan abang sanggup pinang Iman walaupun bukan kenal sangat. Sebab peribadi Imani selepas berubah amat cantik seindah nama Imani tu." Pujuk Qaiser. Memerah wajah Imani.

"Terima kasih sebab jadi suami Iman yang banyak kekurangan ni. Terima kasih sebab ambil Iman jadi isteri abang. Terima kasih seb...." Jari telunjuk Qaiser tepat di bibirnya. Mematikan luahannya.

"Sama-sama kasih. Tak perlu nak berterima kasih pada abang. Tapi berterima kasih kepada Allah sebab Allah yang memberi hidayah dan taufik. Dan Dialah sebaik-baik perancang dan pelaksana kehidupan seorang manusia. Dan juga kehidupan kita berdua yang insyaAllah bertiga." Tangan dilekap ke perut Imani.

Serentak Imani dan Qaiser tersenyum lebar. Dalam hati masing-masing, mengucap syukur yang tidak terhingga kerana perjalanan hidup mereka yang mungkin nampak biasa di pandangan manusia lain, namun luar biasa kerana sukarnya perjalanan hidup seorang hamba yang sudah tersasar jauh namun kembali sujud dan patuh kepadaNya. Kerana dia, seorang hamba yang kembali ke sejadahNya.

~ TAMAT~

nfa says:
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana berjaya juga siapkan cerita yang sebenarnya ditulis pada tahun 2011 namun diolah kembali untuk kesesuaian pembaca. Berharap cerita yang tidak seberapa ini boleh memberi munafaat kepada pembaca dan sebarang komen untuk cerita ini teramatlah dialu-alukan. 

0 Critical Critics:

Post a Comment